fb fb fb fb fb

Ribut, hujan air batu landa Kemaman

Seorang lelaki dilaporkan cedera selepas dihempap bumbung ketika berlindung di wakaf di Pantai Teluk Mok Nik.

KEMAMAN, 23 Oktober - Enam buah sekolah di sekitar kawasan ini mengalami kerosakan teruk dalam kejadian ribut dan hujan batu dalam kejadian 4.25 petang tadi.

Kejadian ribut selama 15 minit itu menjejaskan kawasan seluas 30 Kilometer (km) dari pusat Bandar Cukai dengan Sekolah Menengah Agama Al Falah menjadi sekolah paling teruk terjejas.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan melibatkan pelajar dan guru dari enam sekolah yang terlibat.

Tinjauan RTM mendapati, ribut kuat telah menyebabkan kerosakan serius pada struktur atap salah sebuah bangunan akademik di sekolah itu.

Menurut saksi, ketika kejadian, 208 pelajar di asrama sedang mengulang kaji pelajaran, manakala guru-guru sedang bermesyuarat di bangunan hadapan.

Angin kencang secara tiba-tiba menyebabkan para pelajar bertempiaran lari apabila melihat atap bangunan akademik berterbangan.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 35 tahun dilaporkan cedera selepas dihempap bumbung ketika berlindung di wakaf di Pantai Teluk Mok Nik.

Mangsa mengalami patah kaki kanan dan kini dirawat di Hospital Kemaman.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Penguasa Polis (Supt) Hanyan Ramlan, ketika dihubungi mengesahkan kejadian ribut dan hujan batu di daerah berkenaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN