fb fb fb fb fb

Remaja perempuan mati lemas di Lata Cengkah

(Mangsa, Nor Alia Farhana Mat Zaid)

KEMAMAN, 26 April- Seorang remaja perempuan ditemui lemas ketika sedang melakukan aktiviti mandi-manda bersama bapa saudara serta lima sepupu dalam kejadian di Jeram Lata Cengkah, Kampung Hulu Seladang, Setiu, Terengganu tengahari tadi.
 
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.15 tengahari, mangsa Nor Alia Farhana Mat Zaid, 20, dipercayai hilang selepas terjerlus dan tenggelam ketika sedang mandi bersama lima sepupunya, manakala ke semua sepupu berjaya menyelamatkan diri.
 
Mangsa merupakan bekas pelajar di Sekolah Menengah Seri Bandi, Kemaman datang ke tempat tersebut untuk beriadah dan mandi-manda sempena cuti perayaan Aidilfitri.
 
Menurut bapa saudaranya, Kamarudin Mat Noor, 61, mereka tiba di Lata Cengkah sekitar pukul 12.00 tengahari sebelum memulakan aktiviti riadah.
 
Katanya, ketika sedang mandi-manda, secara tiba-tiba beliau melihat anak saudaranya terjerlus ke kawasan dalam sebelum tenggelam ke dasar dan tidak timbul.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, DSP Affandi Hussin berkata, bapa saudara mangsa cuba berusaha untuk membantu menyelamatkan mangsa dan dibawa naik ke darat lalu melakukan rawatan CPR serta membuat panggilan kecemasan hospital berdekatan.
 
Sejurus sepasukan perubatan tiba di lokasi kejadian, mangsa lemas tersebut telah disahkan meninggal dunia.
 
DSP Affandi Hussin berkata, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Setiu untuk bedah siasat dan kes siasatan dijalankan bawah mati mengejut (SDR).
 
Setelah selesai bedah siasat, jenazah diserahkan kepada keluarga untuk dibawa pulang ke kampung halaman untuk pengebumian di Tanah Perkuburan Islam Seri Bandi, Kemaman pada pukul 6.30 petang tadi.
 


(FOTO PENGGUNA MEDIA SOSIAL)

Media Baharu