Rapid Rail ubah jadual tren terakhir laluan Putrajaya 7 dan 8 Mac

FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Rapid Rail Sdn Bhd memaklumkan terdapat perubahan jadual operasi tren terakhir bagi Laluan Putrajaya pada 7 dan 8 Mac ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perubahan untuk mempercepat kerja pembaikan susulan kerosakan kabel bekalan kuasa, dengan kerja kejuruteraan waktu malam dipanjangkan.
  • Tren terakhir dari Putrajaya Sentral ditamatkan di Stesen Metro Prima; waktu akhir operasi dilaporkan pada 11.35 malam dan 11.05 malam.
  • Rapid Rail sediakan bas percuma Metro Prima ke Kwasa Damansara setiap 15-20 minit; Laluan Kajang boleh digunakan sebagai alternatif.

Perubahan tersebut bertujuan mempercepatkan kerja baik pulih susulan insiden kerosakan kabel bekalan kuasa yang menjejaskan operasi perkhidmatan.

Menurut kenyataan syarikat itu, perubahan jadual berkenaan membolehkan kerja pembaikan infrastruktur dilaksanakan dengan lebih cepat serta memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan secara selamat dan stabil.

“Sejak insiden itu dikesan pada 3 Mac lalu, pasukan teknikal telah digerakkan sepenuhnya bagi menjalankan kerja pembaikan infrastruktur yang terjejas bagi memastikan perkhidmatan dapat dipulihkan dengan selamat dan stabil,” menurut kenyataan itu.

Rapid Rail menjelaskan tempoh kerja kejuruteraan pada waktu malam Sabtu dan Ahad akan dipanjangkan bagi memberi ruang tambahan kepada pasukan teknikal menjalankan pemasangan semula kabel, pengujian sistem serta pemeriksaan keselamatan pada infrastruktur yang terlibat.

Susulan itu, tren terakhir dari Stesen Putrajaya Sentral menuju ke Stesen Kwasa Damansara akan ditamatkan di Stesen Metro Prima.

Bagi 7 Mac (Sabtu), tren terakhir dari Putrajaya Sentral ialah pada pukul 11.35 malam, manakala pada 8 Mac (Ahad) tren terakhir ialah pukul 11.05 malam.

Bagi memastikan perjalanan penumpang tidak terjejas, Rapid Rail akan menyediakan perkhidmatan bas percuma dari Stesen Metro Prima ke stesen-stesen seterusnya sehingga Kwasa Damansara dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit.

Selain itu, penumpang yang ingin meneruskan perjalanan ke Kwasa Damansara juga boleh menggunakan Laluan Kajang sebagai laluan alternatif.

Rapid Rail turut menjelaskan perubahan tersebut hanya melibatkan tren terakhir dari Putrajaya Sentral ke arah Kwasa Damansara, manakala perkhidmatan tren dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral kekal beroperasi seperti biasa.

“Langkah ini diambil bagi mempercepatkan proses pemulihan infrastruktur yang terjejas supaya operasi Laluan Putrajaya dapat kembali berjalan seperti biasa dalam tempoh terdekat,” menurut kenyataan itu lagi.

Orang ramai disarankan mendapatkan maklumat terkini mengenai status perkhidmatan melalui saluran media sosial rasmi Rapid KL dan aplikasi MyRapid PULSE.