NILAI, 13 November- Ranking sesebuah universiti dapat dijadikan sebagai panduan, tetapi bukan matlamat utama bagi institusi pendidikan tersebut.
Menurut Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, ini kerana untuk menjadikan sesebuah universiti itu sebagai sebuah institusi pendidikan yang hebat, ia perlu merangkumi kedudukan pengajian, kualiti sistem dan pensyarah serta penerbitannya.
"Dalam konteks ranking ini, apa yang saya sebut tadi ialah kita perlu seimbang dari segi keperluan negara, pengiktirafan, ranking universiti kerana kita berada di tempat dari negara yang terus membangun.
"Bidang pendidikan kita, tentunya mesti ada penanda aras bagi universiti kita. Tetapi, itu bukan semata-mata kriteria untuk menjadikan universiti itu universiti yang hebat kerana kita memerlukan ekosistem keseluruhannya", katanya kepada pemberita selepas Majlis Peluncuran Sekretariat Pemikir Muda Negara (PEMIKIR) di Bandar Enstek, Nilai.
Program itu turut disertai oleh 100 pensyarah muda dari universiti awam di sekitar Lembah Klang.
Penubuhan Sekretariat PEMIKIR ini berfungsi sebagai platform strategik untuk membangunkan bakat kepimpinan dalam kalangan pensyarah muda yang berusia 45 tahun dan ke bawah. Ia bertujuan untuk memperkukuh jaringan profesional, memperkasa bakat serta membantu pembinaan kerjaya yang berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.
Program ini dilihat penting dalam menyokong agenda pendidikan tinggi negara dengan melibatkan golongan akademik muda sebagai badan pemikir yang dapat membantu Kementerian Pendidikan Tinggi dalam merangka dasar dan inisiatif yang relevan dengan perkembangan teknologi terkini serta keperluan generasi muda.