KUALA LUMPUR, 5 Februari - Rang Undang-Undang (RUU) bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (SKBBK) dijangka dapat dibentangkan di Mesyuarat Parlimen tahun ini.
Timbalan Menteri Sumber Manusia (KESUMA) Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad memberitahu, pelaksanaan SKBBK merupakan satu mekanisme perlindungan sosial dalam menangani cabaran risiko berkaitan kerja dan risiko di luar waktu kerja, terutama bagi pekerja yang terlibat aturan kerja anjal atau aturan kerja fleksibel (FWA).
Jelasnya, KESUMA cakna terhadap perubahan landskap peralihan waktu kerja pada masa kini susulan peningkatan FWA oleh majikan di negara ini susulan perkembangan digitalisasi.
"Secara prinsipnya, Mesyuarat Kabinet telah bersetuju agar KESUMA melaksanakan SKBBK. KESUMA melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga telah mengadakan sesi libat urus dengan para pemegang taruh.
"Ia bagi mendapatkan maklum balas berkenaan cadangan pelaksanaan SKBBK bersama-sama wakil dari pihak Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME), Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM), Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di Lembah Klang, Sabah dan Sarawak," kata Abdul Rahman menjawab pertanyaan Wakil Ayer Hitam, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, di Dewan Rakyat.
Sementara itu Abdul Rahman berkata, pelaksanaan SKBBK bawah pentadbiran PERKESO, pastikan pekerja yang layak terima liputan perlindungan 24 jam sehari dalam tempoh tujuh hari seminggu semasa tempoh penggajian.
Skim tersebut meliputi kemalangan yang berlaku dalam negara serta di luar waktu bekerja, termasuk kemalangan dalam perjalanan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.
"Selama ini kita hanya menampung kos tersebut dalam waktu pekerjaan sahaja...dan lantaran itu pihak KESUMA melalui PERKESO, telah membuat rangka tersebut supaya selama tujuh hari dan dalam masa 24 jam, kita dapat membantu kalau berlaku kemalangan, dengan faedah-faedah yang akan dibentangkan.
"Kita akan membentuk satu kaedah seperti faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara, faedah hilang upaya kekal, faedah orang tanggungan, faedah pengurusan mayat, faedah elaun layanan sentiasa, faedah pemulihan. Maksudnya, kalau dahulu dalam waktu bekerja sahaja tetapi sekarang ini kita meliputi selama 24 jam. Inilah yang akan dibentangkan dan kita berharap supaya disegerakan dapat pembentangan, ' katanya.