KUALA LUMPUR, 28 Disember- Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan cuaca signifikan pada Sabtu ini sehingga 4 Januari depan bagi selatan Semenanjung dan barat Sarawak.
Ketua Pengarah METMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah berkata, keadaan tersebut boleh menyebabkan peningkatan kelembapan yang berpotensi membawa hujan berterusan di kawasan terbabit.
Ia berdasarkan analisis model-model cuaca dan penumpuan angin yang dijangka berlaku di kawasan berkenaan.
"Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, orang awam dinasihat untuk sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia serta memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.