Ramadan perlu jadi momentum angkat martabat rakyat terpinggir – PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan para jemaah selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Pekan Kajang/Foto BERNAMA

KAJANG, 27 Februari – Seluruh lapisan kepimpinan masyarakat dan jentera kerajaan diseru memanfaatkan bulan Ramadan bagi menyantuni golongan rakyat yang masih terpinggir daripada arus pembangunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ramadan mesti dimanfaatkan untuk menyantuni golongan rakyat yang masih terpinggir dari pembangunan.
  • Kerajaan telah melaksanakan inisiatif seperti STR, SARA dan pelarasan gaji tetapi masih ada yang tidak mendapat manfaat penuh.
  • Perdana Menteri menyeru jawatankuasa masjid, surau, guru besar, pengetua, ketua kampung dan pemimpin belia tingkatkan amal kebajikan.
  • Bulan Ramadan digalakkan digunakan untuk mengenal pasti dan meringankan beban warga emas, pesakit dan individu memerlukan di setiap kampung.

Gesaan itu dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, walaupun kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dan pelarasan gaji, namun masih terdapat kelompok kecil masyarakat yang tidak mendapat manfaat sepenuhnya daripada bantuan berkenaan.

“Kita jarang bicara soal mereka dan kita di semua peringkat agak sibuk dalam urusan masing-masing. Jadi saya nak ambil kesempatan ini menyeru semua jawatankuasa masjid, surau, guru besar, pengetua, ketua kampung serta pemimpin belia untuk tingkatkan amal kebajikan kita.”

Perdana Menteri berkata demikian selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Pekan Kajang hari ini.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat menjadikan Ramadan sebagai kesempatan mengangkat martabat semua lapisan masyarakat dengan meringankan beban mereka.

Ujarnya lagi, bulan kemuliaan itu seharusnya dijadikan peluang terbaik untuk mengenal pasti individu, warga emas atau pesakit di setiap pelosok kampung yang memerlukan bantuan segera.