Ramadan di Gaza: Ibadah diteruskan di sebalik kemusnahan

FOTO MYCARE

KUALA LUMPUR, 24 Februari – Rakyat Gaza terus menunjukkan ketabahan luar biasa dalam menyambut Ramadan meskipun berdepan krisis kemanusiaan dan kemusnahan berpanjangan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Komuniti Gaza bergotong-royong menyediakan juadah dan membaiki masjid supaya solat tarawih dapat diteruskan secara berjemaah.
  • MyCARE menyatakan cabaran utama ialah logistik dan keselamatan untuk mendapatkan serta mengagihkan bekalan makanan.
  • Kenaikan harga bekalan menyukarkan proses agihan bantuan kepada penduduk yang memerlukan.
  • MyCARE komited meneruskan bantuan bersama NGO antarabangsa dan menyeru sokongan kewangan, doa serta solidariti rakyat Malaysia.

Pegawai Eksekutif MyCARE, Kamarul Zaman Shahrul Anwar berkata, setiap tahun masyarakat di wilayah itu tetap berusaha menyemarakkan bulan suci itu dengan bergotong-royong menyediakan juadah, menyusun meja panjang untuk berbuka puasa, malah membaiki masjid yang rosak sekadar termampu bagi membolehkan solat tarawih dilaksanakan secara berjemaah.

“Rakyat Gaza sangat bertekad untuk meneruskan kehidupan. Walaupun masjid runtuh dan bekalan terhad, mereka tetap berkumpul, memasak bersama dan beribadah. Mereka mahu memakmurkan Ramadan walau dalam apa jua keadaan,” katanya ketika ditemui selepas menjadi tetamu dalam rancangan Selamat Pagi Malaysia.

Dalam pada itu, MyCARE memaklumkan cabaran terbesar ketika ini adalah dari sudut logistik dan keselamatan, termasuk mendapatkan sumber makanan yang mencukupi serta menyalurkan bantuan dalam keadaan sekatan yang ketat.

Harga bekalan turut meningkat mendadak, menyukarkan proses agihan.

Namun begitu, pasukan MyCARE yang telah lama beroperasi di Gaza terus komited menyampaikan bantuan dengan kerjasama rakan NGO antarabangsa.

“Pergerakan memang satu cabaran besar, tetapi bantuan mesti diteruskan. Doa dan sokongan rakyat Malaysia amat penting supaya penduduk Gaza tahu mereka tidak bersendirian dalam mempertahankan tanah dan Masjid Al-Aqsa.”

MyCARE turut menyeru rakyat Malaysia untuk terus menyalurkan bantuan kewangan, doa dan sokongan moral sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin yang kini memasuki tahun ketiga menyambut Ramadan dalam suasana konflik.