PUTRAJAYA, 30 Ogos - Rakyat Malaysia dari pelbagai kaum menzahirkan rasa bangga dengan pencapaian negara setelah 67 tahun merdeka sejak bebas daripada penjajahan British pada 31 Ogos 1957.
Rata-rata orang awam yang ditemui RTM menyifatkan sambutan Hari Kebangsaan setiap tahun bukan sekadar satu perayaan, tetapi juga simbol perpaduan dan rasa cinta terhadap tanah air.
Mereka berpendapat erti kemerdekaan perlu dipupuk sejak kecil, agar generasi muda memahami kesusahan dan pengorbanan yang telah dilalui oleh pejuang terdahulu untuk memerdekakan negara ini.
"Erti kemerdekaan ini perlu dipupuk sejak kecil agar kita tahu betapa susah payahnya untuk memerdekakan negara kita ini. Jadi, kita kena hargai jasa pejuang kita dahulu," kata Ahmad Zamir Rashid.
Seorang lagi rakyat Malaysia menekankan keunikan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum dan betapa pentingnya kerjasama dalam mencapai kemerdekaan.
"Kita kan unik dan istimewab jika dibandingkan negara lain. Untuk mencapai kemerdekaan, kita perlu bekerjasama," kata Lim Zhen Hong.
Rasa bangga terhadap perpaduan dan keharmonian kaum juga turut diluahkan oleh seorang lagi individu.
"Saya rasa sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Walaupun kita berlainan kaum dan agama, kita tetap bersatu seperti yang tertera dalam Rukun Negara, menjunjung Dirgahayu Tanah Airku," kata Saraswathy Vellu.
Tema Hari Kebangsaan Malaysia tahun ini ialah "Malaysia Madani: Jiwa Merdeka."
Tema dipilih untuk menggambarkan kebebasan rakyat daripada elemen-elemen negatif sambil menekankan semangat patriotisme yang mencakupi aspek pemikiran, integrasi sosial, dan ekonomi.
Sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos akan diadakan di Putrajaya esok manakala Hari Malaysia akan diraikan di Sabah pada 16 September depan.