
PUTRAJAYA, 11 Mac– Usaha membawa pulang rakyat Malaysia yang terkandas di beberapa lapangan terbang transit menjadi keutamaan kerajaan ketika ini.
- Tiga kategori rakyat terjejas: terkandas di lapangan terbang transit, menunaikan umrah secara persendirian, dan yang tinggal atau bekerja di negara terlibat.
- Operasi fokus membawa pulang rakyat terkandas di lapangan terbang transit seperti Dubai, Doha, Abu Dhabi dan Bahrain akibat pembatalan penerbangan.
- Kedutaan dan konsulat menyediakan penginapan sementara serta menyelaras perjalanan pulang bagi rakyat Malaysia yang terjejas.
- Syarikat penerbangan dan ejen pelancongan dikehendaki bertanggungjawab membawa pulang penumpang; operasi pemulangan dijalankan secara berterusan bersama pelbagai agensi.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, terdapat tiga kategori rakyat Malaysia yang terjejas susulan penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat iaitu rakyat Malaysia yang terkandas di lapangan terbang seperti di Dubai, Doha, Abu Dhabi dan Bahrain selepas transit penerbangan untuk pulang ke Kuala Lumpur.
Kategori kedua pula melibatkan rakyat Malaysia yang menunaikan umrah secara persendirian, manakala kategori ketiga ialah rakyat Malaysia yang tinggal, bekerja atau bermastautin di negara berkenaan.
“Keutamaan kita adalah membawa pulang mereka yang terkandas terutama di lapangan terbang transit seperti di Dubai, Doha, Abu Dhabi dan Bahrain akibat pembatalan penerbangan,” katanya
pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Tabung Amanah Kemanusiaan Palestin di Wisma Putra.
Datuk Seri Mohamad berkata kebanyakkan mereka yang terkandas merupakan individu yang melakukan perjalanan secara persendirian tanpa ejen pelancongan.
Menurutnya, kedutaan dan konsulat Malaysia di negara terlibat telah membantu menyelaras penginapan sementara serta mengurus kepulangan mereka ke tanah air.
Sebahagian rakyat Malaysia yang terkandas turut ditempatkan di kemudahan seperti asrama Tabung Haji sementara menunggu penerbangan pulang.
Beliau dalam pada itu menegaskan agar syarikat penerbangan dan ejen pelancongan bertanggungjawab membawa pulang penumpang termasuk mereka yang menunaikan umrah.
“Mana-mana jemaah yang pergi melalui ejen pelancongan, tanggungjawab membawa pulang mereka adalah di bawah ejen pelancongan berkenaan bersama syarikat penerbangan,” katanya.
Menurut beliau lagi, operasi membawa pulang rakyat Malaysia dijalankan secara berterusan dengan kerjasama pelbagai pihak dan agensi bagi memastikan semua yang terjejas dapat pulang dengan selamat.
Terdahulu, seramai 163 rakyat Malaysia terkandas di beberapa negara terjejas akibat konflik Asia Barat, selamat tiba di tanah air tengah hari tadi.
Kumpulan itu merangkumi jemaah umrah dari Arab Saudi serta rakyat Malaysia dari Qatar, Jordan dan Syria, yang terjejas susulan gangguan jadual penerbangan serta penutupan ruang udara di rantau berkenaan.
Penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines MH8503 bagi Operasi Evakuasi Rakyat Malaysia dari Zon Konflik Asia Barat yang berlepas dari Jeddah awal pagi ini turut membawa tujuh ahli keluarga bukan warganegara, iaitu lima rakyat Thailand, serta masing-masing seorang warga Indonesia dan Maghribi.