
PUTRAJAYA, 3 Mac – Rakyat Malaysia dinasihatkan menangguhkan semua perjalanan yang tidak penting ke Iran, Iraq, Jordan, Kuwait, Qatar, Bahrain dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).
- Nasihat menangguhkan semua perjalanan tidak penting ke negara-negara Asia Barat yang terjejas.
- Perwakilan diplomatik memantau, menyediakan bantuan konsular dan bilik operasi 24 jam untuk kebajikan rakyat.
- Keputusan perjalanan dan langkah keselamatan akan ditentukan berdasarkan penilaian risiko semasa setiap negara.
Kementerian Luar dalam Nasihat Perjalanan rasmi memaklumkan arahan itu kekal berkuat kuasa sehingga pemakluman baharu dibuat.
Perkembangan di Asia Barat juga akan terus dipantau secara rapat dengan penyelarasan bersama Perwakilan Diplomatik Malaysia di negara yang terjejas, dengan keutamaan diberikan kepada keselamatan dan kebajikan rakyat Malaysia.
Di UAE, operasi penerbangan diteruskan secara terhad dan tertakluk kepada pelarasan semasa.
Pihak berkuasa tempatan mengeluarkan panduan meminta hotel membenarkan tetamu yang terjejas akibat gangguan penerbangan melanjutkan penginapan bawah syarat tempahan asal, serta memaklumkan pihak berkuasa sekiranya menghadapi kesukaran menanggung kos tambahan.
“Kedutaan dan Konsulat Malaysia sedang memaklumkan panduan ini kepada rakyat Malaysia serta membantu mereka berurusan dengan pihak hotel sekiranya perlu,” menurut kenyataan itu.
Di Arab Saudi, tumpuan diberikan kepada jemaah umrah Malaysia yang terjejas akibat gangguan penerbangan komersial.
Konsulat Jeneral Malaysia di Jeddah telah mengaktifkan bilik operasi 24 jam dan menyelaras dengan pihak berkaitan bagi memastikan kebajikan jemaah terpelihara.
Situasi di Lubnan, Qatar, Iraq, Jordan dan Syria terus dipantau rapi oleh Perwakilan masing-masing.
Di Lubnan, rakyat Malaysia termasuk anggota Angkatan Tentera Malaysia yang berkhidmat bawah Batalion Malaysia (MALBATT) bersama UNIFIL dilaporkan selamat.
Perwakilan di Iraq, Jordan dan Syria juga terus berhubung dengan rakyat Malaysia serta menyalurkan panduan konsular yang sewajarnya.
Di Parlimen, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus memantau perkembangan dan mengekalkan langkah kesiapsiagaan sebagai sebahagian daripada perancangan kontingensi.
Sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian keselamatan semasa mengikut negara.
Kementerian turut mengemas kini rekod rakyat Malaysia di rantau terjejas yang dianggarkan berjumlah kira-kira 29,000 orang.