KUALA LUMPUR, 11 Oktober - Pengumuman kerajaan mengawalkan bayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 4 bermula 18 Oktober bersempena perayaan Deepavali, menerima reaksi positif dan penuh rasa syukur daripada rakyat.
Bagi seorang penerima STR, Wan Airufiza Wan Ariffin, 47, berkata beliau amat bersyukur dengan pengumuman itu kerana pembayaran awal dapat meringankan beban kewangan keluarganya.
“Apabila dengar berita diumumkan, rasa bersyukur sangat sebab STR diberi pada 18 Oktober. Ia sedikit sebanyak membantu pengurusan kewangan kami,” katanya.
Sementara itu, Mek Dayang Endut, 58, berkata bantuan yang disalurkan lebih awal membolehkan beliau membuat persiapan rumah dan membeli keperluan dapur.
“Syukur alhamdulillah, dapat STR awal. Terima kasih kepada Perdana Menteri atas sumbangan ini,” ujarnya.
Selain itu bagi Asrul Abd Rahman, 43, inisiatif itu juga memberi kelegaan kepada rakyat, terutama peniaga kecil dan keluarga berpendapatan rendah.
“Bagus sangat STR diawalkan sempena Deepavali. Harap ia diteruskan untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.