GOMBAK, 25 November- Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sekali lagi menzahirkan pendirian dan dukacita atas penderitaan rakyat di bumi Palestin.
Tunku Azizah menyeru seluruh umat Islam di negara ini terus bersatu menentang kezaliman Israel terhadap Palestin.
"Walaupun kita mungkin merasa tidak berdaya melihat keputusasaan umat kita, terutamanya saudara-saudara kita di Palestin, kita tidak boleh lupa bahawa kuasa doa yang tidak terhingga digabungkan dengan kekuatan ilmu dan kebenaran yang menerangi, mempunyai potensi transformatif untuk membawa kita keluar daripada malapetaka yang paling gelap.
"Ingat, mungkin tidak banyak yang dapat kita lakukan jika bersendirian, tetapi jika kita bersama dan bersatu, kita sentiasa boleh melakukan keajaiban," titah Tunku Azizah ketika merasmikan sidang pertama majlis konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)di sini.
Tunku Azizah yang juga Ketua Perlembagaan UIAM mengucapkan tahniah kepada semua graduan dan penerima anugerah pada konvokesyen itu.
Baginda turut melahirkan harapan agar ilmu yang diperoleh graduan di UIAM, dapat digunakan untuk menjadikan dunia ini lebih baik.
Dalam pada itu, baginda bertitah peranan seseorang khalifah itu untuk berkhidmat, bukan sahaja kepada Allah SWT tetapi juga kepada ummah.
"Setiap individu itu perlu berbuat baik, membantu insan yang memerlukan dan menghulurkan tangan membantu mereka yang ditindas," titah Tunku Azizah.