
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim, kanak-kanak asnaf dan kanak-kanak jagaan Yayasan Chow Kit di Istana Negara, hari ini.
- Majlis menghimpunkan kanak-kanak Syria dan Palestin serta saudara baharu dalam suasana penuh ihsan dan keberkatan Ramadan.
- Atur cara dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran, terjemahan, azan Maghrib, berbuka puasa, solat Maghrib dan santapan di Dewan Santapan Utama.
- Seri Paduka Baginda mengurniakan sumbangan kepada 310 penerima termasuk anak yatim, asnaf, kanak-kanak jagaan dan saudara baharu.
Majlis berkenaan turut menghimpunkan kanak-kanak Syria dan Palestin serta saudara baharu atau mualaf dalam suasana penuh ihsan dan keberkatan Ramadan.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci Al-Quran dan terjemahan sebelum azan Maghrib berkumandang, diikuti acara berbuka puasa dan solat fardu Maghrib.
Selepas itu, Seri Paduka Baginda berangkat ke Dewan Santapan Utama, Istana Negara bagi meneruskan majlis santapan bersama hadirin.
Acara diserikan lagi dengan persembahan khas oleh kanak-kanak Syria dan Palestin.
Pada majlis sama, Seri Paduka Baginda juga berkenan mengurniakan sumbangan kepada seramai 310 penerima, terdiri daripada 70 anak-anak yatim dari PPR Kerinchi, PPR Seri Cempaka dan PPR Pantai Ria, 90 kanak-kanak asnaf dari sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 70 kanak-kanak jagaan Yayasan Chow Kit, 50 kanak-kanak Syria dan Palestin dari Sekolah Al-Aqsa serta 30 saudara baharu atau mualaf.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.