ALOR SETAR, 23 November - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafuddin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menzahirkan kebimbangan terhadap situasi penyalahgunaan dadah di Kedah yang disifatkan sebagai ancaman serius kepada kesejahteraan rakyat, kestabilan sosial dan masa depan generasi muda.
Baginda bertitah bahawa penyalahgunaan dadah bukan sahaja meningkatkan kadar jenayah seperti kecurian, pecah rumah dan gangguan ketenteraman awam, malah turut meruntuhkan institusi keluarga.
Dalam pada itu, Tengku Sarafuddin Badlishah turut menzahirkan rasa sukacita terhadap kejayaan Projek Rintis yang dilaksanakan pada Ogos 2023, yang menggabungkan rawatan pemulihan berasaskan komuniti dan penguatkuasaan lebih berkesan.
"Kadar klien kekal pulih meningkat dengan signifikan, daripada 67.71 peratus pada tahun 2023 kepada 95.2 peratus pada tahun 2025 di Mukim Naga, Kubang Pasu.
"Ini satu pencapaian yang amat membanggakan, hasil kejayaan pilot projek dipertingkatkan kepada ALteR@Komuniti dan kini diperluas pelaksanaannya ke semua daerah di Kedah bermula 2025", titah Baginda.
Baginda bertitah pendidikan merupakan asas pencegahan yang paling penting dan perlu diterapkan sejak usia muda dan berharap elemen pendidikan mengenai bahaya dadah serta ketagihan lain seperti alkohol, pornografi dan judi dapat dimasukkan dalam silibus pembelajaran.
Titah Baginda agar usaha pencegahan dan pemulihan digerakkan secara menyeluruh dengan penglibatan pemimpin agama, komuniti setempat, majikan, ibu bapa dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Baginda bertitah demikian kepada media selepas merasmikan Penutup Seminar Menangani Gejala Dadah dan Hari Apresiasi Kepulihan 2025 di Alor Setar.