fb fb fb fb fb

Raja Muda Kedah dukacita insiden letupan mercun

Foto RTM

GUAR CHEMPEDAK, 20 Mac- Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin melahirkan perasaan dukacita terhadap kejadian letupan mercun yang mengakibatkan dua beradik berusia empat dan tujuh tahun di Kedah mengalami kecederaan parah.

Baginda mahu ibu bapa lebih peka dan sentiasa berada bersama anak-anak bagi memantau pergerakan mereka, serta memastikan penggunaan mercun yang tidak membahayakan.

Baginda turut menasihatkan agar ibu bapa tidak sesekali membenarkan anak-anak membuat mercun buatan sendiri kerana ia boleh mendatangkan bahaya sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

"Saya harap ibu bapa memantau anak-anak mereka yang kecil, yang bersekolah lagi.

"Saya berharap kejadian ini tidak berlaku lagi sebab tiap-tiap tahun bila kita dengar masa nak dekat raya ada kejadian macam ini, saya harap ibu bapa kena tengok dan pantau anak-anak," titah baginda.

Terdahulu, baginda menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri berupa wang tunai dan kuih raya  kepada 170 penerima di sini.

Dalam kejadian semalam, di Kampung Baru, Kuala Nerang, letupan mercun bola menyebabkan kedua-dua mangsa melecur di bahagian anggota badan, malah abang mangsa yang terlibat mengalami kecederaan parah termasuk di bahagian tangan dan muka.

Kedua-dua mangsa kini mendapatkan rawatan lanjut di Unit rawatan Rapi Pediatrik di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM