PUTRAJAYA, 19 Januari- Kerajaan menyarankan penjawat awam agar mendaftar dan mengemas kini maklumat dalam sistem Pangkalan Data Utama (PADU) secepat mungkin.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, meskipun tidak diwajibkan, namun ia digalakkan agar golongan tersebut tidak tercicir daripada sebarang program dan bantuan kerajaan.
"Penjawat awam mengalami risiko tercicir daripada program kerajaan. Ada penjawat-penjawat awam yang sebelum ini tidak layak (mendapat bantuan), mereka sekarang layak.
"Ini kali pertama yang kita cuba merangkumkan seberapa ramai termasuklah penjawat awam supaya program bantuan kerajaan itu dilihat lebih terangkum dan inklusif.
"Data itu kita dah ada (seperti) data gaji dia (penjawat awam) berapa dan sebagainya, (cuma) kita nak pastikan kalau ada maklumat yang belum kita dapat," katanya pada sidang media PADU di sini.
Tempoh pendaftaran PADU dijadual tamat pada Mac ini.
Justeru, orang ramai termasuk penjawat awam dinasihat supaya tidak melakukan pendaftaran pada saat-saat akhir kerana kerajaan berusaha membantu rakyat dengan lebih sistematik.
Setakat pukul 4.00 petang tadi, sebanyak 1.63 juta rakyat Malaysia termasuk golongan muda berusia bawah 18 tahun telah mendaftar dalam PADU, dengan Putrajaya mencatatkan pendaftaran tertinggi berbanding negeri-negeri.
Bagi memastikan seramai mungkin rakyat berdaftar dalam PADU, katanya usaha akan dipergiatkan ke arah itu dalam tempoh sebulan ini termasuk beliau sendiri turun padang bertemu menteri besar dan kepimpinan kerajaan negeri.
“Di peringkat kerajaan Persekutuan pula, arahan telah dikeluarkan oleh Perdana Menteri yang disampaikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, untuk memastikan semua penjawat awam berusaha mendaftar (dalam PADU) secepat mungkin,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN
Memorandum mekanisme penyasaran semula subsidi dihantar hari ini - Rafizi