fb fb fb fb fb

Pustaka Hikmah Online, lebih 80 buku didaftarkan

Foto FB MBNS

SEREMBAN, 9 April- Jabatan Mufti Negeri Sembilan menjadi yang pertama mengorak langkah dalam membangunkan Sistem Jualan Buku dan Pengurusan Stok secara dalam talian yang melibatkan penjualan buku-buku terbitan jabatan itu.

Mufti Negeri Sembilan, Profesor Madya Datuk Dr Faudzinaim Badaruddin berkata setakat ini 88 buah buku didaftarkan dalam sistem pangkalan data yang dikenali sebagai Pustaka Hikmah Online.

"Sistem jualan Pustaka Hikmah Online merupakan suatu sistem yang menawarkan jualan buku online yang merentas sempadan.

"Kita mempunyai pelanggan yang datang daripada luar Negeri Sembilan, malah yang jadi kesukaran untuk dapatkan buku secara fizikal, sebabkan mereka tidak dapat buku tersebut jadi sistem online ini mereka boleh buat tempahan dan segala proses penghantaran semua akan diuruskan ke tempat mereka," katanya kepada pemberita pada majlis Pelancaran Sistem Buku Jabatan Mufti Kerajaan Negeri Sembilan di Seremban.

Jabatan Mufti Negeri Sembilan turut menyasarkan untuk meningkatkan tahap kefahaman umat Islam terhadap agama itu dengan penggunaan bahasa yang lebih mudah dalam buku yang dijual.
 
Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyokong usaha tersebut serta menggalakkan semua agensi kerajaan menggunakan aplikasi digital termasuk institusi agama seperti Jabatan Mufti Negeri Sembilan.

"Saya harap ia memudahkan masyarakat untuk mendapatkan buku rujukan mereka kerana saya sedia maklum buku yang ada di jabatan mufti merupakan buku asas fardu ain, yang berlaku dalam keperluan harian, soal jawab tentang kehidupan, jadi saya yakin buku ini banyak membantu kita.

"Saya pernah melalui modul ini di surau secara tak formal tetapi yang banyak memberi kemudahan kepada saya dan jemaah untuk mengetahui sumber hukum tentang fardu ain itu sendiri, jadi ini perkara penting yang sentiasa berulang dalam kalangan umat Islam itu sendiri," katanya.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM