KUALA LUMPUR, 28 November-Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengemas kini dan mengenal pasti 5,648 lokasi hotspot banjir di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerja-kerja penyelenggaraan sungai, kolam takungan banjir dan infrastruktur turut dilaksanakan segera di seluruh negara secara sempurna dan berkala.
Menurut Anwar, tindakan itu bagi menangani serta mengurangkan risiko banjir akan datang.
"Langkah dilaksanakan segera ialah mengaktifkan 8,481 Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Ini untuk mengelakkan keadaan kelam kabut apabila banjir berlaku. Persiapan dimulakan sekarang walaupun kawasan itu belum terkena atau melibatkan kesan yang teruk. Persiapan untuk menempatkan 1.62 juta penduduk terjejas, melibatkan 5,063 sekolah, dewan (2,400), masjid (572) dan pusat komuniti (389)," kata Anwar ketika menjawab pertanyaan wakil Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli di Dewan Rakyat di sini.
Ke arah itu juga, program 'Community-Based Disaster Risk Management' (CBDRM) di seluruh negara dilaksanakan sebagai langkah pelan tindakan kecemasan bagi memastikan keselamatan mangsa banjir diutamakan dan meminimumkan kehilangan harta benda.
Dalam pada itu, Anwar berkata Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) akan diwujudkan segera dengan projek rintis dimulakan di sembilan negeri.
Anwar berkata PPKB itu membabitkan kos siling RM5 juta bagi setiap pusat serta bakal menjadi tempat kemudahan perlindungan penduduk terjejas banjir yang lebih baik berbanding PPS.
"Kita hadapi banjir setiap tahun, tidak munasabah hanya jadikan PPS sahaja, sebab itu kerajaan putuskan untuk menubuhkan segera PPKB. Jadi pusat ini mungkin boleh digunakan untuk aktiviti sementara tetapi terpelihara. Sepatutnya kemudahan itu jauh lebih baik," kata Anwar.