(Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin menyampaikan Geran Penyelidikan FCoEE kepada penerima)
KANGAR, 28 Oktober- Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) memperuntukkan 17 geran penyelidikan bagi Fasa Pertama kepada tiga institusi.
Institusi berkenaan ialah Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Institut Pendidikan Guru Kampus Perlis dan Pelibatan Ibu Bapa Komuniti Swasta (PIBKS).
Menurut Pengerusi Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE), Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin, dengan jumlah peruntukan RM200,000 melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), penyelidikan yang akan dilaksanakan bakal dapat membantu membangunkan sektor pendidikan sama ada dari sudut akademik, sosial, sahsiah, infrastruktur dan kokurikulum.
Usaha tersebut selaras dengan objektif penubuhan FCoEE ke arah meningkatkan kualiti data dan perancangan program berasaskan fakta dan data yang utuh melalui kajian ilmiah oleh para penyelidik yang dilantik melalui peruntukan geran penyelidikan.
Hasil dapatan kajian kelak dapat dirujuk oleh pemegang taruh untuk menambahbaik keadaan semasa sekolah, keperluan dan hasrat ibu bapa, guru-guru serta pelajar terutamanya golongan asnaf di Perlis.
Antara tema dan fokus penyelidikan yang diketengahkan bagi Fasa Pertama, adalah keciciran pelajar, keibubapaan dalam pendidikan, penguasaan pelajar terhadap platform pengajaran dan pembelajaran di rumah, kecenderungan ponteng serta potensi kemahiran keusahawanan dalam kalangan pelajar sekolah menengah dan sekolah rendah di negeri Perlis.
Beliau ditemui media pada Majlis Penyerahan Geran Penyelidikan Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) di Kangar.
Institusi lain di Perlis seperti Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dan Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) akan dilibatkan dalam fasa seterusnya mengikut keperluan tema dan kepakaran bagi inovasi pendidikan dan lain-lain yang berkaitan di masa hadapan.
Sebanyak 20 lagi geran penyelidikan bernilai RM200,000 disediakan untuk fasa kedua kelak.
(Profesor Emeritus Datuk Dr Kamaruddin Hussin bergambar kenangan bersama penerima Geran Penyelidikan FCoEE)