Pusat beli-belah wajib sedia kemudahan kitar semula

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming / Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 18 Mac – Semua pusat beli-belah kini diwajibkan menyediakan kemudahan kitar semula sebagai syarat lesen operasi susulan resolusi Majlis Ekonomi Kitaran Nasional.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pusat beli-belah perlu memainkan peranan lebih besar membentuk budaya kelestarian dan menggalakkan pengunjung untuk mengitar semula.
  • KPKT menubuhkan Majlis Ekonomi Kitaran Kebangsaan untuk memperkasa agenda kelestarian dan mempertingkat pengurusan sisa negara.
  • Tetra Pak, KPT Recycle dan AEON meterai MoU untuk perluaskan Program Sort & Drop kitar semula kotak minuman ke 27 pusat AEON menjelang 2028.

Langkah itu melibatkan pusat beli-belah utama di ibu negara, sekali gus menjadikan lokasi tumpuan awam sebagai hab amalan kitar semula.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menegaskan, pusat beli-belah perlu memainkan peranan lebih besar dalam membentuk budaya kelestarian.

“Kita mahu rakyat bukan sahaja datang membeli-belah, tetapi turut mengitar semula. Inilah gaya hidup baharu Malaysia.

”Pendekatan itu penting bagi memastikan amalan ekonomi kitaran menjadi norma dalam kehidupan seharian,” tambah beliau selepas merasmikan program pengasingan dan kitar semula kotak minuman untuk pusat beli belah di Shah Alam.

Rakyat Malaysia menghasilkan 40,000 tan sisa pepejal sehari, di mana 12,000 tan atau 30 peratus daripadanya adalah sisa makanan yang masih boleh dimakan.

Sebagai langkah drastik, KPKT menubuhkan Majlis Ekonomi Kitaran Kebangsaan (NCEC). Melalui empat mesyuarat dalam tempoh setahun, majlis tersebut komited memperkasa agenda kelestarian dan pengurusan sisa yang lebih efektif demi masa depan negara.

Terdahulu, Nga menyaksikan pemeteraian memorandun persefahaman antara Tetra Pak, KPT Recycle Sdn Bhd (KPT Recycle) dan AEON Co. (M) Bhd (AEON) yang akan memperincikan perluasan Program ‘Sort & Drop – Recycle the Cartons’ ke 27 pusat beli belah AEON di seluruh negara secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun menjelang 2028.