fb fb fb fb fb

Pupuk budaya membaca secara berterusan

Perdana Menteri menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Penutupan PBAKL 2025 di WTCKL. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 Jun - Budaya membaca harus dipupuk secara berterusan serta dikekalkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, menekankan bahawa budaya itu perlu disemarakkan lagi kerana ia masih belum menjadi amalan di negara ini.

“Membaca ini masih belum menjadi budaya utama dalam negara kita. Ini agak melelahkan. Apabila kita sebut negara MADANI, ia negara yang berpaksikan keyakinan dan mencintai ilmu.

“Bagaimana kita boleh mencintai ilmu kalau tidak berteraskan ilmu sebenar.

"Sayangnya sekarang, kita baca empat ayat atau dengar celoteh dua minit di media sosial, terus buat keputusan. Dunia ini mencabar dan dunia ini memerlukan manusia yang mendalami ilmu mereka,” katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Datuk Seri Anwar turut menekankan kepentingan menguasai bahasa, sastera, budaya dan jati diri bangsa sebagai satu warisan dan kebanggaan, sama seperti yang diterapkan di kebanyakan negara maju.

Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Pengerusi Pengelola PBAKL 2025 Mohd Khair Ngadiron serta Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Dr Hazami Jahari.

MUHAMMAD APENDY BIN ISSAHAK