SEBERANG JAYA, 14 Ogos - Pulau Pinang mencapai 100 peratus sasaran ditetapkan di bawah Inisiatif C4 iaitu pendekatan strategik mempercepat pelaksanaan program serta pembaharuan institusi perkhidmatan awam negeri.
Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, ia juga merupakan indikator positif dalam memastikan penyampaian perkhidmatan tersebut lebih cekap kepada rakyat.
"Sehingga 30 Jun lalu, secara keseluruhannya rata-rata sasaran yang ditetapkan di bawah pelaksanaan Inisiatif C4 berjaya dicapai 100 peratus.
"Malah, terdapat beberapa pencapaian yang telah melebihi sasaran asal. Sebagai contoh, sebanyak 124 dasar dan garis panduan telah disemak semula berbanding sasaran awal sebanyak 50 peratus," katanya.
Beliau berucap ketika Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang Tahun 2024, di sini hari ini.
Pada majlis tersebut, seramai 316 penerima daripada 21 jabatan dan tiga badan berkanun menerima APC.
Inisiatif C4 merupakan satu usaha kerajaan negeri di bawah Pelan Tindakan Penang 2030 bertujuan untuk meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan negeri dan melaksanakan pembaharuan dalam institusi.
Ia juga selaras dengan pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi yang ditekankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.