SEREMBAN, 15 Januari- Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Negeri Sembilan diarah untuk menyiasat dakwaan berkaitan penemuan emas di sebuah kawasan di Lenggeng.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya sebelum ini hanya dimaklumkan tentang kerja-kerja membaiki hakisan tanah pasir di kawasan itu yang tiada kaitan dengan aktiviti melombong emas.
"Cuma kita ada satu lesen melombong yang dikeluarkan di Gemas satu kawasan melombong, itu pun belum lagi bermula.
"Saya sendiri tidak tahu macam mana melombong emas itu sama ada korek pasir atau cara lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Pasca Mesyuarat Mingguan Exco di Seremban.
Terdahulu, tular di media sosial berkaitan dakwaan berlaku aktiviti melombong emas di Lenggeng yang membabitkan menteri besar dan wakil rakyat.