fb fb fb fb fb

Projek tebatan banjir fasa 2 RM1.3 bilion untuk selesaikan masalah banjir di Pasir Mas, Tumpat

PASIR MAS, 2 Mac - Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengemukakan cadangan untuk melaksanakan projek tebatan banjir fasa dua membabitkan kos RM1.3 bilion di dua daerah, iaitu Pasir Mas dan Tumpat, Kelantan.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata projek berkenaan dijangka akan menyelesaikan masalah banjir yang melanda Pasir Mas dan Rantau Panjang yang merupakan sebahagian daripada daerah itu serta Tumpat.

Katanya projek tebatan banjir fasa dua merupakan kesinambungan kepada projek fasa satu yang sedang berjalan di Rantau Panjang membabitkan kos RM600 juta.

"Projek tebatan fasa dua berjumlah RM1.3 bilion sedang diteliti untuk mendapatkan bajet. Kalau bajet lulus isu berkaitan banjir di tiga kawasan tersebut dapat diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mendengar taklimat keadaan banjir di Jajahan Pasir Mas dan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Gelang Mas, di sini pada Rabu.

Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

 

(Ismail Sabri (tengah) pada sesi taklimat semasa mengadakan lawatan ke PPS Pasir Mas di SK Gelang Mas Pasir Mas pada Rabu)

Ismail Sabri meluangkan masa kira-kira sejam untuk mendengar taklimat mengenai perkembangan banjir semasa di Kelantan oleh pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di PPS berkenaan yang menempatkan 808 penduduk terjejas daripada 277 keluarga dari kawasan sekitar.

Beliau berkata, seramai 7,651 penduduk terjejas banjir di Kelantan dan Terengganu yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat bencana banjir akan menerima bantuan wang ihsan (BWI) dalam kadar segera.

"Bantuan sebanyak RM1,000 bagi setiap isi rumah itu akan diagih kepada penduduk terjejas mengikut senarai berdaftar di PPS sebelum mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing,"

Selain bantuan wang ihsan, kerajaan turut menyalurkan pelbagai lagi bentuk bantuan termasuk bayaran RM2,500 untuk pembelian tunai kelengkapan rumah rosak akibat banjir, baucar atau rebat RM500 bagi kerosakan barangan elektrik, RM1,000 bagi pembaikan kenderaan rosak dan diskaun 50 peratus bagi pembelian alat ganti yang kenderaan," katanya.

Media Baharu