KUALA LUMPUR, 12 April — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua projek pembangunan termasuk projek berstatus ‘projek sakit’ di Kelantan perlu dipastikan siap dalam tempoh yang ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan rakyat.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, usaha memperhebat dan melicinkan pelaksanaan projek rakyat perlu diberikan perhatian serius supaya untuk impak pembangunan ekonomi dan kemajuan bersama.
Anwar berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu ialah keperluan mempercepatkan projek tebatan banjir bagi mengelak penambahan kos dan kerugian kewangan.
"Perbincangan terarah kepada faktor yang boleh dipertimbang dalam menyegerakan projek seperti rancangan tebatan banjir supaya tidak membebankan rakyat," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Mesyuarat turut disertai Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Ahli-Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta para pegawai kanan Persekutuan dan negeri. Hadir sama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak berkaitan agar memastikan pemantauan rapi dilakukan terhadap setiap projek, termasuk projek bermasalah, bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual dan mencapai prestasi terbaik.
"Justeru, saya mengingatkan, perlunya pemantauan pelaksanaan projek, termasuk status ‘projek sakit’ supaya siap dalam tempoh ditetapkan hatta mencapai prestasi yang membanggakan," katanya.
Anwar turut berharap kepedulian terhadap kebajikan dan kesejahteraan rakyat di Kelantan terus menjadi keutamaan serta diuruskan dengan sebaiknya.