JASIN, 19 Oktober– Pelaksanaan Projek Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) di Melaka berjaya membantu kerajaan menjimatkan kira-kira RM13.5 juta setahun.
- Projek RKB Melaka menjana penjimatan kira-kira RM13.5 juta setahun bagi kerajaan.
- Melaka dijadikan negeri contoh dalam meningkatkan kecekapan dan produktiviti kerja kerajaan.
- PTG Melaka dan PlanMalaysia@Melaka kurangkan masa pengambilan tanah dari 36 bulan ke 6 bulan.
- KSN menyeru perluasan pelaksanaan RKB ke semua jabatan dan agensi kerajaan.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata Melaka menjadi negeri contoh dalam mengubah cara kerja kerajaan ke arah lebih cekap dan produktif.
Beliau menjelaskan, menerusi inisiatif itu, Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Melaka bersama PlanMalaysia@Melaka berjaya mengurangkan tempoh urusan pengambilan tanah daripada 36 bulan kepada hanya 6 bulan melalui semakan teknikal yang bersepadu dan serentak.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sijil Penghargaan Projek Reformasi Karenah Birokrasi di Politeknik Merlimau, di sini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negeri Melaka, Datuk Azhar Arshad.
Tan Sri Shamsul Azri turut menyeru supaya pelaksanaan RKB diperluas ke semua jabatan dan agensi kerajaan bagi meningkatkan keberkesanan dan produktiviti perkhidmatan awam.