PORT DICKSON, 26 Julai- Seramai 40 buah keluarga nelayan di kawasan Pasir Panjang, Port Dickson, menerima pampasan sebanyak RM1,000 setiap bulan sepanjang pembinaan Projek pembangunan Lexis Hibiscus 2 yang bermula Jun lalu sehingga Jun 2029.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pemberian pampasan tersebut telah dimulakan sejak Jun lalu dan senari nama penerima telah dikenal pasti oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta persatuan nelayan.
"Apa yang menarik bukan setakat bayar RM1,000 itu tetapi bantuan anak sekolah untuk nelayan itu pun ada jadi ini antara yang kita tekankan ketika perjanjian itu ditandatangani.
"Kita tidak mahu ada pihak yang hanya melihat pembangunan dan mereka terkesan dengan teruk,"katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian dan Pecah Tanah Projek Pembangunan Lexis Hibiscus 2, di Pekan Sungai Menyala, Port Dickson.
Pembangunan Lexis Hibiscus 2 dibangunkan bersebelahan dengan resort yang sedia ada dengan keluasan lebih kurang 80 ekar dan tempoh pelaksanaan projek ini akan mengambil masa selama lima tahun bermula pada Jun 2024 sehingga Jun 2029.
Projek tersebut dianggarkan menelan belanja sebanyak RM1.6 bilion dengan komponen binaan bilik penginapan sebanyak 1,710 buah unit melibatkan 910 buah unit 'water homes' dan 800 buah unit 'hotel suites'.