fb fb fb fb fb

Projek pelabuhan, jambatan darat oleh Thailand tidak jejas pembangunan KLIP - Ab Rauf

Foto FB Menteri Besar

KUALA LINGGI, 23 Januari- Kerajaan negeri Melaka optimis pembinaan pelabuhan dan jambatan darat oleh kerajaan Thailand tidak akan memberi implikasi terhadap pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP).

Ketua Menterinya, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata perancangan Thailand itu tidak akan memberi impak terhadap sektor logistik tempatan dan pelabuhan utama di negeri itu.

Projek pembangunan KLIP dijangka siap pada 2027, membabitkan kos keseluruhan RM115 bilion itu nyata memberi impak positif dengan mewujudkan sehingga 10,000 peluang pekerjaan. 

"Kerja-kerja tanah bermula pada awal tahun ini dan kita harap pelabuhan ini akan menjadi kenyataan pada tahun 2027. Tambak ini akan selesai dan saya harap pada waktu dan ketika itu peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan akan dapat kita lihat," kata Ab Rauf kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah KLIP, di sini.

Pengarah Urusan KLIP, Tan Sri Noor Mustafa Kamal Yahya berkata KLIP sebagai hab perindustrian global hijau untuk sumber tenaga, pelabuhan dan perkhidmatan maritim itu dilengkapi pelbagai kemudahan lain.

Antaranya simpanan tangki, limbungan kapal, industri berat limbungan fabrikasi, kawasan pengendalian kargo, dermaga dan kemudahan gudang.

Menurutnya, lokasi strategiknya terletak di Selat Melaka dapat mewujudkan hubungan penting untuk perdagangan antarabangsa antara Asia, Eropah dan Timur Tengah.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM