KUALA LUMPUR, 24 Julai - Status terkini penyiapan Projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sarawak sudah mencapai 99 peratus dengan enam daripada 11 pakej kerja telah dibuka untuk pengguna jalan raya, kata Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan.
"Pakej Kerja 01 Telok Melano ke Sematan sepanjang 33 km pada 6 Januari 2019; Pakej Kerja 02 Sematan ke Sungai Moyan sepanjang 95 km siap pada 25 Mac 2024; Pakej Kerja 03 Bulatan Serian Ke Persimpangan Pantu sepanjang 75 km siap pada 27 Mei 2023;
"Pakej Kerja 05 Batang Skrang ke Sungai Awik sepanjang 68 km siap pada 7 Oktober 2023; Pakej Kerja 07 Persimpangan Bintangor ke Jambatan Sungai Kua sepanjang 76 km digunakan pada 26 Januari 2024 dan Pakej Kerja 10 Persimpangan Bakun ke Sungai Tangap sepanjang77 km pada 10 Februari 2024," Ahmad Maslan menjawab soalan Senator Roderick Wong Siew Lead, di Dewan Negara.
Beliau berkata baki lima pakej itu kini di peringkat akhir pembinaan dan keseluruhan jajaran Projek LPB Sarawak akan siap pada September tahun ini.
Mengenai jajaran Projek LPB Sarawak di Sarikei pula Ahmad Maslan memberitahu, status pembinaan pakej kerja tersebut sudah mencapai 96 peratus.