fb fb fb fb fb

Projek kereta api berkelajuan tinggi mampu selesaikan isu kesesakan


JOHOR BAHRU, 21 Februari- Sistem pengangkutan awam Johor-Singapura mampu mengatasi masalah kesesakan di Tambak Johor, serta memudahkan perjalanan antara kedua-dua negara.

Justeru, Kerajaan Johor berharap Kementerian Pengangkutan menggerakkan segera perbincangan semula Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perbincangan perlu dibuat semula dari awal, selepas projek terbatal apabila perjanjian dua hala luput
pada 31 Disember 2020.

"Saya yakin dengan kebolehan, keupayaan dan kesungguhan yang ditunjukkan Menteri Pengangkutan (Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong). Dan saya percaya HSR akan dapat dibincangkan semula,

"Kerajaan Negeri Johor akan menyokong sepenuh perlaksanaan ini dan berharap agar projek ini dapat menjadi realiti," ucapnya ketika merasmikan Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST) Johor di Johor Bahru.

Ketika ini, projek pengangkutan awam Johor Bahru-Singapura yang sedang berjalan ialah Projek Sistem Transit Rapid, RTS, yang menghubungkan Bukit Chagar dengan Woodlands.

Projek itu dijangka siap akhir 2024 dan pembukaan penuh dijadual pada 2026.

Media Baharu