
PUTRAJAYA, 8 Januari – Pelaksanaan projek berskala kecil bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) akan dipercepatkan bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara langsung oleh rakyat, khususnya di peringkat akar umbi.
- Percepatan pelaksanaan projek kecil RMK13 untuk manfaat terus kepada rakyat akar umbi.
- Fokus utama pada pelaksanaan berkesan, bukan sekadar pengumuman.
- Penekanan terhadap pemantauan dan penyiapan mengikut jadual serta berkualiti.
- Projek akan memperbaiki prasarana asas serta merancakkan ekonomi setempat.
- Mewujudkan peluang pekerjaan tempatan dan mengurangkan jurang pembangunan bandar-desa.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kementerian itu komited melaksanakan langkah tersebut selaras dengan penegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam Amanat Tahun Baharu 2026 baru-baru ini.
“Projek berskala kecil merangkumi pelbagai isu termasuk berkaitan bencana, seperti keperluan membaik pulih kerosakan infrastruktur yang telah diumumkan sebelum ini. Namun, penekanan utama adalah memastikan setiap pengumuman disusuli dengan pelaksanaan yang berkesan.
“Kita tidak mahu ia terhenti setakat pengumuman sahaja. Sebaliknya, pelaksanaan perlu dipastikan berjalan lancar kerana ia memerlukan pemahaman serta kerjasama pelbagai pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada pemberita selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2026 Kementerian Ekonomi dan Perhimpunan Bulan Januari di Kementerian Ekonomi di sini.
Tambah beliau, pihaknya akan memberi penekanan khusus terhadap aspek pelaksanaan, pemantauan dan penyiapan projek kecil bagi memastikan ia disiapkan mengikut jadual, berkualiti serta mencapai matlamat asal.
Menurutnya, hasil pelaksanaannya bukan sahaja akan menambah baik prasarana asas, tetapi turut merancakkan ekonomi setempat, mewujudkan peluang pekerjaan tempatan, dan mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan desa.