SUNGAI BESAR, 8 Disember - Kecekapan semua pihak memantau dan menyelia Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sabak Bernam telah membawa kepada penjimatan perbelanjaan bernilai RM400,000.
Projek itu membawa penjimatan dengan kos RM 17.7 juta berbanding peruntukan yang diluluskan sebanyak RM18.1 juta.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bukan sekadar aspek penjimatan malah yang lebih utama, projek tersebut disiapkan dengan memenuhi standard yang telah ditetapkan sekali gus memberi manfaat kepada rakyat.
"Sebanyak RM400,000 penjimatan, tentunya perkara ini dicontohi bukan sahaja oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di daerah lain tetapi di seluruh negara. Tetapi kalau ini diperlihatkan oleh kontraktor terhadap usaha dilakukan JKR ada pemantauan oleh KKDW tentu manfaatnya datang kepada rakyat. Rakyat harus diberi keutamaan, satu manifestasi terhadap pembangunan kawasan perdesaan dan kerajaan tidak akan lupakan luar bandar," kata Ahmad Zahid.
Beliau ketika berucap pada Majlis Perasmian Penyerahan Projek Jalan Luar Bandar (JALB) di Sungai Besar, Selangor.
Beliau juga menyifatkan pembangunan infrastruktur jalan khususnya di kawasan desa bukan sekadar jalan perhubungan, tetapi satu simbol kemajuan dan kesejahteraan masyarakat di perdesaan.
Penyerahan projek pada hari ini melibatkan usaha menaik taraf Jalan Nipah, Taliair 13 dan Peket 100 Daerah Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan sepanjang 8.1 kilometer.
Jalan-jalan itu adalah jajaran jalan negeri bermula daripada Jalan Negeri B110 Jalan Terusan Utama bersambungan dengan Jalan Persekutuan FT005 di mana boleh terus ke Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Jalan yang dinaiktaraf ini juga menghubungkan Pekan Sekinchan, Pasir Panjang, Sg Besar dan Sabak Bernam.