Projek ganti paip usang Sabah kini fasa pelantikan perunding

Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad

KUALA LUMPUR, 11 Februari- Jabatan Air Sabah memantau rapi pelaksanaan kerja-kerja penggantian paip usang dan menaik taraf paip transmisi dengan kos RM200 juta menerusi Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

RINGKASAN BERITA AI
  • Projek RM200 juta untuk menggantikan dan menaik taraf paip di tiga daerah kini dalam fasa prapelaksanaan pelantikan perunding.
  • Penaiktarafan melibatkan penukaran paip MSCL 300–450mm sepanjang 27.1km dan penggantian paip AC kepada MSCL 150–200mm sepanjang 7.44km.
  • Jabatan Bekalan Air mengadakan mesyuarat pemantauan bulanan dan lawatan tapak berkala bersama agensi berkaitan untuk pastikan jadual dipatuhi.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata projek itu melibatkan tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan yang kini berada dalam fasa prapelaksanaan bagi pelantikan perunding.

Projek berkenaan merangkumi kerja menaik taraf paip jenis Mild Steel (MSCL) sedia ada bersaiz 300 milimeter (mm) hingga 450 mm sepanjang 27.1 kilometer (km) dan penggantian paip jenis Asbestos Cement (AC) kepada paip MSCL bersaiz 150 mm hingga 200 mm sepanjang 7.44 km.

“Bagi memastikan pelaksanaan projek mengikut jadual dan terma kontrak, Jabatan Bekalan Air mengadakan mesyuarat pemantauan setiap bulan bagi projek geran dan pinjaman.

“Selain itu, mesyuarat dan lawatan tapak ke projek pinjaman di Sabah dilaksanakan secara berkala setiap tahun bersama Kementerian Kewangan, Kementerian Ekonomi dan agensi berkaitan bagi memastikan semua projek bekalan air berjalan mengikut jadual,” katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Putatan, Datuk Ir Shahelmey Yahya mengenai status kemajuan kerja penggantian paip usang dan penaiktarafan paip transmisi di Dewan Rakyat hari ini.