Program UniMAP-MAIPs Peduli 2026: Bantuan zakat manfaatkan 300 mahasiswa

FOTO ISTANA ARAU

ARAU, 23 Januari – Seramai 300 mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menerima manfaat agihan zakat berjumlah RM90,000 menerusi Program UniMAP-MAIPs Peduli 2026, malam tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program agihan zakat meningkatkan kebajikan mahasiswa dan meringankan beban kos sara hidup.
  • Proses pemilihan dibuat oleh JHEP dan PIMPIN bagi memastikan pengagihan telus dan berintegriti.
  • MAIPs menyerahkan cek RM90,000 kepada UniMAP sebagai sokongan kewangan program.
  • Program mencerminkan komitmen universiti terhadap pelajar asnaf dan kesinambungan pendidikan.

Inisiatif itu sebagai usaha berterusan untuk meringankan beban kewangan pelajar serta memperkukuh kebajikan golongan asnaf dalam kalangan warga universiti itu.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Profesor Ts. Dr. Zaliman Sauli memaklumkan, untuk agihan zakat itu, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP) melaksanakan proses pemilihan melibatkan 280 pelajar daripada tujuh fakulti manakala Pusat Islam dan Pembangunan Insan (PIMPIN) memilih 20 pelajar Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Tahfiz.

“Agihan zakat ini merupakan amanah yang perlu diurus secara telus dan berintegriti supaya benar-benar memberi impak langsung kepada kesejahteraan penerima,” katanya.

Beliau memaklumkan pada Majlis Agihan Zakat sempena Program UniMAP-MAIPs Peduli 2026 di Kampus Alam UniMAP Pauh Putra di sini.

Bersempena majlis berkenaan, turut berlangsung penyampaian cek cura oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mod Noor bernilai RM90,000 kepada Profesor Ts. Dr. Zaliman yang disaksikan Raja Muda Perlis yang juga Canselor UniMAP, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail serta Raja Puan Muda Perlis merangkap Pro-Canselor UniMAP Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.