fb fb fb fb fb

Program Rehabilitasi secara sukarela untuk ahli GISBH

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Program Rehabilitasi secara sukarela ditawarkan khas kepada ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang memerlukan bimbingan akidah dan sokongan bagi memastikan kelangsungan hidup mereka terjamin.

Lebih 20 pusat latihan disediakan di seluruh negara lengkap dengan kemudahan asas untuk mereka menjalani proses pemulihan.

Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara (Keselamatan Strategik) Majlis Keselamatan Negara (MKN), CP Datuk Baharuddin Ahmad berkata fokus utama pada masa ini adalah kepada ahli GISBH di dalam negara.

Beliau berkata demikian dalam sidang media khas di pejabat MKN Kuala Lumpur.

Program itu dilaksanakan secara berfasa bawah kendalian MKN, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi berkaitan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata modul program pemulihan selama 90 hari itu merangkumi beberapa aspek yang akan dilaksanakan secara komprehensif sebelum penilaian dibuat terhadap peserta.

Secara umumnya terdapat empat modul dalam program berkenaan, iaitu pemulihan akidah, latihan kemahiran, kenegaraan dan pendidikan kaunseling.

Pendaftaran secara sukarela dibuka selama sebulan mulai hari ini hingga 14 November depan.

Ahli GISBH yang ingin menyertai program ini boleh mengimbas kod QR untuk pendaftaran secara dalam talian atau mendaftar di mana-mana pejabat Jabatan Agama Islam negeri dan Ibu Pejabat Polis Daerah.

Sekiranya terdapat ahli GISBH yang mendapat ancaman atau ugutan kerana ingin menyertai program ini, mereka disaran membuat laporan polis.

Trainee2