fb fb fb fb fb

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku sasar lebih 300,000 pengunjung

Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar/ BERNAMA

PUTRAJAYA, 4 Disember - Lebih 300,000 pengunjung disasarkan menghadiri Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025; bermula pada Jumaat di Dataran Putrajaya.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, program selama tiga hari itu merupakan platform menghimpunkan pelbagai dasar serta inisiatif utama kerajaan untuk rujukan masyarakat.

"Lebih penting, terdapat 5,000 jawatan kosong yang boleh diisi. Program kita kali ini terbuka kepada semua. Jemput hadir bersama keluarga.

"Kita juga mengadakan sambutan ulang tahun ketiga Kerajaan Perpadauan. Marilah kita merancakkan semangat Malaysia MADANI bersama-sama," katanya.

Beliau berkata demikian selepas bertemu pengguna MRT di Stesen Cyberjaya City Centre dan Stesen Putrajaya Sentral, di sini.

Mengenai Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA); Tan Sri Shamsul Azri berkata sebanyak lima forum utama akan diadakan bagi mengupas pelbagai isu, antaranya Reformasi Kerenah Birokrasi: Analisis Pencapaian dan Islah Berterusan serta Memperkukuh Sektor Kesihatan.

Forum berkenaan akan memperlihatkan pembentangan mengenai pencapaian serta hala tuju kerajaan dalam memperkukuh sistem penyampaian perkhidmatan awam.

Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2025 akan berlangsung pada Jumaat hingga 7 Disember.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI