fb fb fb fb fb

Program Pembiayaan Pertanian Ladang Kontrak FarmByte sokong petani kecil perluas operasi ladang

Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin ditemui media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Agrobank dan Farmbyte / FOTO RTM

KUALA LUMPUR, 11 September- Agrobank dan FarmByte mengumumkan kerjasama strategik dengan memperuntukkan RM12 juta bagi Program Pembiayaan Pertanian Ladang Kontrak FarmByte.

Program itu memberi sokongan kepada petani kecil dalam memperluaskan operasi ladang dan mengukuhkan ketersediaan makanan di Malaysia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Agrobank Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, peruntukan berkenaan dijangka dapat membantu 50 petani dengan sokongan kewangan sehingga lebih RM200,000 setiap peserta.

"Melalui kerjasama ini petani boleh mendapat tunjuk ajar yang khusus, penyediaan tanah, penyediaan bahan-bahan untuk pertanian dalam fertigasi cili, tanaman sayur dan sebagainya. Kita menjangkakan pendapatan setiap petani itu mencecah RM5,000 sebulan,"katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Agrobank dan Farmbyte.

Menerusi program tersebut, petani turut didedahkan mengenai teknologi terkini dalam pertanian dan akses kepada data permintaan tanaman, trend bekalan dan ramalan harga.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE