
PULAU PANGKOR, 8 Februari– Kerajaan memperkenalkan pendekatan baharu menerusi Program Pembangunan Komuniti dengan memanfaatkan kepakaran dan teknologi universiti awam bagi membantu meningkatkan sosioekonomi penduduk pulau.
- Manfaatkan kepakaran universiti awam untuk terjemah ilmu dan teknologi kepada komuniti setempat.
- Pelaksanaan projek termasuk ternakan kelulut, pengeringan ikan bersih, dan sistem tenaga solar kos rendah.
- Program selaras dengan RPTM 2026-2035 dan menumpu aspek sosioekonomi kawasan terlibat.
- Inisiatif akan diperluaskan ke seluruh Pulau Pangkor melibatkan semua komuniti bagi pembangunan mampan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, inisiatif itu membolehkan ilmu dan teknologi institusi pengajian tinggi diterjemahkan secara langsung kepada masyarakat setempat.
Antara projek yang dilaksanakan termasuk ternakan kelulut, penggunaan teknologi pengeringan ikan yang lebih bersih dan pantas, serta sistem tenaga solar kos rendah untuk kegunaan harian penduduk.
“Institusi universiti berperanan menyumbang bakti kepada rakyat dengan menterjemahkan ilmu kepada masyarakat. Alhamdulillah, beberapa program telah diatur dan ia selaras dengan Rancangan Pembangunan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035.”
“Program-program ini telah pun dimulakan seperti yang dapat disaksikan hari ini di Pulau Pangkor, melibatkan penyertaan pelbagai universiti. Pelaksanaannya bukan sahaja merangkumi program kemasyarakatan, malah turut memberi tumpuan kepada aspek sosioekonomi di kawasan terlibat,” kata Datuk Seri Dr. Zambry kepada pemberita, hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang media pada Program Pembangunan Komuniti MADANI di Pulau Pangkor.
Program tersebut akan diperluaskan ke seluruh Pulau Pangkor melibatkan semua komuniti, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk merakyatkan ilmu demi pembangunan mampan masyarakat setempat.