KUALA LUMPUR, 19 April- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Negeri Sembilan, Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan Negeri Sembilan dinobatkan sebagai juara bagi Anugerah World Summit On The Information Society Prizes 2024 (WSIS 2024).
Anugerah berkenaan dimenangi bagi 5 Action Lines Kategori 5 iaitu Membina Keyakinan dan Keselamatan dalam Penggunaan ICT menerusi Program Advokasi dan Jangkauan untuk Kampung Orang Asli Negeri Sembilan.
Selain itu ia membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap projek yang telah dibangunkan MCMC.
Anugerah WSIS akan disampaikan pada Majlis Anugerah WSIS Prizes 2024 yang akan dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) di Geneva, Switzerland pada 30 Mei depan.
Program itu yang telah bermula sejak tahun 2023 memperkasakan keterangkuman digital dalam kalangan masyarakat orang asli melalui penyediaan akses ICT serta keselamatan dan literasi digital terutama dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan ibu bapa.
WSIS Prizes adalah satu pertandingan antarabangsa yang dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan.
Ia juga merupakan satu platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan dan suri teladan yang boleh dicontohi kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS.