fb fb fb fb fb

Program MADANI Rakyat, kaunter saringan kesihatan antara tumpuan pengunjung

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni beramah mesra dengan pengunjung yang menderma darah dalam program berkenaan

LABUAN, 24 Februari- Hampir 700 orang melakukan saringan kesihatan sepanjang Program MADANI Rakyat berlangsung di Labuan.

Penganjuran program berkenaan memperlihatkan masyarakat setempat amat peka terhadap penjagaan kesihatan sekali gus menjadikan sasaran matlamat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tercapai menerusi perkhidmatan yang disediakan Jabatan Kesihatan Labuan.
 
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata program yang telah berlangsung selama enam hari itu dilaksana di bawah Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI).

Tambahnya, NHSI bertujuan memperkasa kawalan kesihatan kendiri dalam memastikan individu, keluarga dan komuniti mempunyai keupayaan, kemampuan serta kemahiran dalam menangani ancaman penyakit tidak berjangkit.

"Usaha ini seiring konsep MADANI iaitu bersifat menyeluruh termasuk juga kita membawa falsafah MADANI ini dalam perkhidmatan-perkhidmatan kami terutama sekali di hospital dan klinik kesihatan kerajaan."

"Perkhidmatan kesihatan adalah merupakan pintu masuk utama rakyat dalam menilai betapa Kerajaan Perpaduan ini sangat prihatin kepada kesejahteraan rakyat Malaysia," kata Lukanisman kepada pemberita selepas merasmikan penutupan sambutan Hari Terbuka Program Madani Rakyat Labuan di Ujana Kewangan.

Terdahulu, Datuk Lukanisman berkesempatan menjayakan Program 'One Hour Labuan Clean Up' yang berlangsung di Kampung Bebuloh menerusi gotong-royong bersama komuniti dan sukarelawan COMBI.

Program itu memupuk masyarakat tentang kesedaran agar dapat menjaga alam sekitar supaya bersih, baik dan selamat untuk didiami.

Beliau juga berpeluang menyantuni kanak-kanak yang menyertai program berkhatan di klinik Kesihatan Membedai yang dianjurkan Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Bahagian Labuan yang disertai lebih 50 kanak-kanak dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam perkembangan lain, Kementerian Kesihatan (KKM) komited dan prihatin terhadap golongan yang kurang berkemampuan bagi mendapatkan rawatan kesihatan.
 
Komitmen itu dizahirkan menerusi Tabung Bantuan Perubatan (TBP), yang dapat membantu meringankan beban mereka yang memerlukannya.
 
Jelas Datuk Lukanisman,Di Labuan, seramai empat individu menerima bantuan berkenaan dengan kos keseluruhan hampir RM50,000.

Penyampaian bantuan itu disampaikan oleh beliau pada majlis Program MADANI Rakyat Labuan.

Tambah beliau, dana peruntukan yang disalurkan ke tabung berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM