fb fb fb fb fb

Program K4A perkukuh kesedaran denggi peringkat komuniti

Program Komuniti 4 Anti-Aedes (K4A): Misi Bersih, Komuniti Ceria di Pangsapuri Pandan Mewah, Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR, 15 Jun- Program Komuniti 4 Anti-Aedes (K4A): Misi Bersih, Komuniti Ceria merupakan inisiatif memperkukuh kesedaran masyarakat terhadap bahaya wabak denggi serta memperkasa aspek kesihatan awam di peringkat komuniti.

Program anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam dengan kerjasama Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) memfokuskan pendidikan kesihatan dan pembersihan kawasan.

Timbalan Yang Dipertua MPAJ, Hasrolnizam Shaari berkata, penganjuran program itu bertepatan dengan sambutan Hari Denggi ASEAN 2025 yang diraikan pada 15 Jun setiap tahun.

"Masalah denggi ini berpunca daripada isu kebersihan serta kelemahan dalam pengurusan persekitaran. Ia menuntut komitmen seluruh komuniti untuk menjaga kawasan kediaman masing-masing, mengurus sisa buangan dengan betul dan melaksanakan pembersihan secara berkala," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Komuniti 4 Anti-Aedes (K4A): Misi Bersih, Komuniti Ceria di Pangsapuri Pandan Mewah di sini.

Pada masa sama kepentingan gotong-royong dan penyediaan tempat buangan sesuai merupakan langkah penting untuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Antara pengisian program tersebut termasuk ceramah kesihatan, kempen pendidikan awam, pameran kesedaran denggi serta pelancaran pusat pengumpulan barangan buangan bernilai, 'Trash to Cash' untuk menggalakkan amalan kitar semula.

Kanak-kanak turut diberi pendedahan awal melalui pertandingan 'Mencari Titik Pembiakan Jentik-Jentik',bertujuan mendidik generasi muda mengenai bahaya denggi dan kepentingan kebersihan persekitaran.

Sementara itu Pensyarah Fakulti Sains Kesihatan dan Persekitaran UiTM, Profesor Madya Dr. Nazri Che Dom, berkata penglibatan pelajar dalam program komuniti selain memperkukuh nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa.

"Program sebegini memberi peluang kepada pelajar untuk mendekati masyarakat dan menyumbang kepada usaha kesejahteraan komuniti. Ia juga memperkukuh penglibatan mereka dalam melaksanakan inisiatif kesihatan awam yang menyeluruh," ujarnya.

Usaha bersama UiTM dan MPAJ itu diharapkan dapat memupuk kesedaran berterusan tentang kepentingan kebersihan dan pengurusan sisa domestik, sekali gus menyumbang kepada pengurangan kes denggi dalam komuniti, selaras dengan objektif Hari Denggi ASEAN 2025.

Program berkenaan mendapat penyertaan lebih 300 individu termasuk pelajar, pensyarah, petugas kesihatan, pemimpin komuniti serta penduduk setempat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI