KUALA TERENGGANU, 31 Ogos – Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) yang dianjurkan di Terengganu memberi manfaat kepada lebih 762,000 pengunjung sejak Januari lalu.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu, Mohd Mufsi Lat berkata, sebanyak 625 siri PJRM dilaksanakan dengan lima model pelaksanaan, termasuk 266 siri yang dijalankan di dalam premis.
Menurut beliau, program berkenaan berjaya merekodkan hasil jualan melebihi RM32 juta.
“Penganjuran PJRM secara besar-besaran ini menekankan kepedulian kerajaan terhadap kesejahteraan rakyat. Ia adalah usaha nyata bagi menyantuni rakyat dengan menyediakan barangan keperluan asas pada harga lebih berpatutan, sekali gus meringankan beban kos sara hidup.
KPDN Terengganu percaya selain membantu rakyat berbelanja dengan lebih berhemah, inisiatif ini turut memperkukuh semangat kebersamaan dan patriotisme dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Terdahulu, beliau mengadakan walkabout di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu.
Menariknya, sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68, PJRM diadakan secara serentak di lapan kawasan Parlimen dengan pelaksanaan lebih besar, antaranya melibatkan penganjuran di dalam premis selama sehari dengan kapasiti pengunjung yang lebih tinggi.