BATU PAHAT, 24 Februari - Program Gotong-Royong Perdana, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) melibatkan Southern Volunteers (SV) bakal diperluas ke kawasan kampung baru dan Felda di seluruh Johor.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata ia selari pelaksanaan agenda Johor Bersih yang sebelum ini dilaksanakan di kawasan bandar.
"Setiap kampung akan ada 25 penggerak Southern volunteers yang akan bergerak dengan ketua kampung, jadi kalau ditambah semuanya, dalam 16,000 lebih southern volunteers akan digerakkkan di seluruh kampung," katanya.
Beliau ditemui pada Program Gotong-Royong Perdana Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Johor di Kampung Parit Kuari Darat, Parit Raja, di sini.
Kira-kira RM12 juta diserahkan kepada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi melaksanakan program gotong-royong yang akan diadakan sebulan sekali.
Sebelum ini, program tersebut turut mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail agar SV digerakkan ke peringkat kawasan kampung.