KANGAR, 8 Januari - Program 'GENA YB?' yang dilancarkan Perlis fm bakal menjawab segala kekeliruan di kalangan rakyat berkaitan gerak kerja barisan wakil rakyat di negeri Perlis.
Program berkenaan juga dijadikan sebagai medan interaktif di antara wakil rakyat dan masyarakat di negeri itu.
Program 'GENA YB?' Perlis fm tersebut menghimpunkan kesemua wakil rakyat bagi membincangkan masalah dan persoalan rakyat serta pelan pembangunan di Perlis.
Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man berkata program berkenaan mampu memberi impak dan kesan baik kepada perhubungan di antara barisan kerajaan dan rakyat.
" Ini merupakan satu slot yang bersifat interaktif bagi saya, untuk membolehkan dan memberikan peluang kepada ahli-ahli Yang Berhormat untuk memberikan pandangan pandangan dan menjawab, memberikan respon kepada komen, kritikan, dan pandangan yang diberikan oleh rakyat dalam konteks ini, apatah lagi dalam bidang berkaitan dengan tanggungjawab dan portfolio masing masing, " kata beliau selepas merasmikan program GENA YB serta menjadi tetamu pertama program itu di konti radio Perlis fm, di sini.
Program tersebut tidak hanya tertumpu kepada isu politik, sebaliknya lebih bersifat menyeluruh merangkumi pemasalahan, pembangunan serta menjawab kekeliruan di kalangan rakyat.