fb fb fb fb fb

Program bersama-sama saintis, tarik minat pelajar dalam STEM

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 18 Julai- Kementerian Pendidikan (KPM) akan segera melaksanakan program bersama-sama saintis di 100 sekolah seluruh negara.

Perkara itu bagi meningkatkan minat murid dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dalam satu kenyataan berkata, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

KPM bersama-sama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan MOSTI telah mengorak langkah menubuhkan Jawatankuasa Khas STEM, yang memberi fokus khusus kepada hala tuju STEM bermula dari peringkat sekolah hingga ke pendidikan tinggi.

"Pelbagai inisiatif pembudayaan, aktiviti serta program pembangunan STEM sedang giat berjalan di sekolah, dengan pelaksanaannya merentas kementerian dan agensi selain melibatkan kerjasama rakan strategik korporat dan komuniti," katanya.

Dalam pada itu, Fadhlina berkata sinergi antara kementerian dan semua pihak berkepentingan akan dipergiatkan, bagi meningkatkan minat dan penyertaan murid dalam STEM seperti yang dihasratkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Jelajah Bioekonomi Kebangsaan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di ibu negara, semalam.

Anwar juga telah mengarahkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang menyenaraikan 100 saintis bioteknologi untuk mengadakan program bagi menarik minat murid dalam bidang STEM di 100 sekolah.

Menerusi program itu, pihak berkaitan perlu merangka ikhtiar baharu khususnya terkait bagaimana hendak menggarap dan memperkasa dalam bidang berkenaan, yang belum berkembang dalam kalangan pemikiran rakyat seperti yang disarankan Perdana Menteri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI