fb fb fb fb fb

Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor, RM26.5 juta diagih

Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 19 Disember- Selangor menyalurkan bantuan sebanyak RM26.5 juta kepada 825 buah sekolah di seluruh negeri itu menerusi Program Bantuan Sekolah Negeri Selangor, pada tahun ini.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, inisiatif di bawah Iltizam Selangor Penyayang itu bagi membaikpulih infrastruktur sekolah selain penyediakan pengajaran dan pembelajaran kondusif kepada guru dan pelajar.

"Secara keseluruhannya RM26.5 juta diagihkan, namun ada sedikit kelewatan kerana hari itu kita cuba untuk mengubah beberapa komponen tetapi akhirnya kita dapat selesaikan.

Jadi, tahun depan kita rasa kita boleh cepatkan bulan enam ataupun bulan tujuh tahun depan kita agihkan kepada sekolah-sekolah," kata Datuk Seri Amirudin kepada pemberita, hari ini.

Beliau ditemui selepas menyempurnakan penyerahan bantuan sekolah Negeri Selangor 2024 di Shah Alam, hari ini.

Tambah Amirudin, menerusi peruntukan baharu ini, kerajaan negeri telah menyalurkan RM285.3 juta kepada sekolah-sekolah sejak 2009.

Pengagihan itu melibatkan Sekolah Agama Rakyat, Sekolah Kebangsaan Dan Sekolah Menengah Kebangsaan.

Selain itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, Sekolah Kebangsaan Tamil, Sekolah Menengah Persendirian Cina, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan dan Sekolah Mubaligh.

Permohonan bantuan sekolah bagi tahun depan akan mula dibuka pada pertengahan Januari ini.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM