KUALA LUMPUR, 23 November- Kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menjadi tumpuan utama pengunjung yang hadir ke Program Dua Tahun Kerajaan Madani (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata berdasarkan data yang dilaporkan, kedua-dua kaunter itu menerima jumlah pengunjung yang sangat meriah sejak semalam.
"Berdasarkan maklum balas, saya dimaklumkan kaunter yang paling mendapat perhatian adalah kaunter pertukaran topi keledar lama kepada baharu secara percuma dan pencetakan semula salinan keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) yang boleh didapati pada kadar RM10,” katanya.
Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan memaklumkan, pelbagai maklumat dan perkhidmatan disediakan di setiap reruai kementerian mengikut fokus masing-masing.
Tambahnya lagi, rerurai Kementerian Komunikasi menempatkan lima syarikat komunikasi utama yang menawarkan pelbagai pakej internet dan peranti menarik kepada pengunjung.
"Kementerian ada fokus sendiri, kita minta lima syarikat telekomunikasi utama membuka ruang pameran. Mereka juga menyediakan pakej khas termasuk harga peranti yang lebih murah, pakej yang menawan, jadi kita menjemput orang ramai untuk dapatkan pakej-pakej internet yang menarik ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau pusat media bersempena Program 2 Tahun Kerajaan MADANI.
Menurut Fahmi, setakat hari ini program itu berjalan lancar dengan semua kemudahan dan keselesaan disediakan kepada pengamal media yang membuat liputan.
“Saya difahamkan hampir 100 petugas media telah berdaftar untuk membuat liputan pada tiga hari program berlangsung."