KEMAMAN, 16 November - Perarakan menggunakan kenderaan akan dibenarkan sekiranya cuaca hujan pada hari penamaan calon Pilihanraya Kecil (PRK) P040 Parlimen Kemaman Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata, polis menjangkakan kira-kira 10,000 penyokong parti bertanding akan hadir memberikan sokongan kepada calon.
Menurut Hanyan, Jabatan Meteorologi (MeT Malaysia) elah mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kelantan dan Terengganu bermula hari ini hingga Sabtu.
Hanyan berkata hanya 30 individu yang mempunyai pas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) akan dibenarkan memasuki dewan bagi penamaan calon.
"Jika hujan berlaku kita benarkan perarakan berkenderaan di lokasi mereka berhimpun dan kita benarkan calon, wakil, saksi dan tiga puluh orang yang mempunyai pas yang dikeluarkan SPR untuk memasuki dewan penamaan calon.
"Manakala mereka yang tiada pas, mereka boleh berkenderaan mencari tempat parkir sekitar kawasan penamaan calon dan boleh berkumpul lima puluh meter dari pintu masuk yang ditetapkan", kata Hanyan.
Tambahnya, sepanjang proses penamaan calon itu juga sebanyak sepuluh laluan akan ditutup secara kekal manakala tiga laluan ditutup secara berperingkat bermula pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari.
Hanyan juga menjelaskan langkah tersebut dilakukan bagi melancarkan trafik dan menjamin keselamatan sepanjang proses penamaan calon berlangsung.
Hanyan turut mengingatkan kira-kira 400 pelajar yang akan menduduki ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) supaya dapat merancang perjalanan ke pusat peperiksaan bagi menjamin kelancaran peperiksaan tersebut.