
KUALA LUMPUR, 10 Januari – Pertembungan politik yang berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dijangka lebih tertumpu kepada kewibawaan dan personaliti calon.
- Pengundi kini utamakan integriti dan kewibawaan calon berbanding populariti dan retorik semata.
- Calon perlu tonjolkan personaliti yang sesuai dengan segmen pengundi terutama golongan muda.
- Platform media sosial penting kerana pengundi muda membuat penilaian cepat melalui kandungan digital.
Felo Penyelidik Kanan, Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (KITA-UKM), Profesor Madya Dr Zaini Othman berpandangan pengundi kini lebih matang dan cenderung memilih integriti dan kewibawaaan calon berbanding populariti, legasi dan retorik semata-mata.
“Calon yang diumumkan oleh Barisan Nasional dan juga Warisan itu lebih menonjolkan kepada persoalan-persoalan personaliti dan kewibawaan calon, mungkin dia agak terkait dengan kelompok ataupun segmen pengundi.
“Kalau kita lihat, Kinabatangan dan juga Lamag lebih daripada 50 peratus terdiri daripada pengundi-pengundi yang berkategori umur antara 18 hingga 40 tahun.
“Jadi ini, kelompok pengundi begini, kewibawaan dan juga keunggulan calon itu akan memainkan peranan penting,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi tetamu menerusi rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri, Kota Media.
Prof. Madya Dr Zaini juga berpandangan pengundi khususnya pengundi muda akan menilai personaliti calon menerusi media sosial kerana platform digital seumpama itu membolehkan mereka membuat penilaian yang cepat dalam menentukan bakal wakil rakyat mereka.
“Setiap orang, calon yang hendak menawarkan diri… dia mesti ada satu segmen. Jentera kempen calon mesti ada satu segmen media sosial, itu tidak boleh ‘lari’. Anak muda sekarang anak muda, generasi Z, generasi XY dan sebagainya.
“Bagi saya, mereka ini ‘instant generation’ ataupun dia hendak cepat, tidak mahu tengok cerita, baca buku panjang-panjang. Mereka mahu sesuatu itu cepat, pantas dan relevan kepada merek”, katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin pada 5 Disember lepas.